Tuesday, 25 July 2017

Premis kenakan caj 30 sen 'ikat tepi' dikompaun KPDNKK


SHAH ALAM, SELANGOR - Premis yang mengenakan caj tersembunyi (ikat tepi) pada minuman yang dibungkus, yang viral di media sosial baru-baru ini, dikenakan kompaun, lapor Sinar Harian. 

Dalam tindakan pemantauan dan penguatkuasaan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mendapati, premis berkenaan gagal mempamerkan tanda harga dan tanda harga bagi caj tambahan bagi minuman bungkus ikat tepi (RM0.30). 

"Justeru, premis itu telah dikenakan kompaun (denda) di bawah kesalahan AKHAP 2011," kata kenyataan KPDNKK di Facebook rasminya, hari ini. 

KPDNKK juga turut memberi amaran kepada peniaga premis berkenaan agar mempamerkan tanda harga termasuk caj tambahan RM0.30 bagi minuman yang dibungkus.

Terdahulu, viral gambar resit bayaran pelanggan dikenakan caj tersembunyi bagi minuman bungkus (ikat tepi) dengan harga 30 sen yang mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang tidak berpuas hati dengan peniaga berkenaan. 

Bagaimanapun, wakil premis berkenaan tampil memberi penjelasan serta melakukan demonstrasi perbezaan minuman yang diminum di kedai berbanding dengan minuman yang dibungkus. 

Dalam penjelasannya itu, wanita itu berkata minuman yang dibungkus mengandungi lebih air berbanding minuman yang diminum di kedai. Dalam masa yang sama, wanita itu berkata 30 sen 'it's nothing' bagi mereka, menyebabkan netizen bertambah berang dan mula mengkritik kata-katanya itu. 

Semalam, KPDNKK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah memeriksa premis tersebut yang terletak di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar. Sepasukan penguatkuasa telah menjalankan pemeriksaan terhadap penandaan harga di premis perniagaan di kawasan tersebut. 

Sebanyak 14 premis perniagaan termasuk kedai menjual pakaian dan mini market diperiksa dalam operasi tersebut.

No comments:

Post a Comment