KUANTAN, PAHANG – Seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan teman lelakinya yang cuba menyembunyikan kelahiran bayi luar nikah mereka terbongkar selepas mereka dicekup ketika cuba memperdayakan anggota polis, semalam, lapor Kosmo.
Dalam kejadian di Klinik Desa Bukit Sagu itu, wanita berusia lingkungan 20-an itu ditahan pada jam 4 petang ketika datang ke Pondok Polis Bukit Goh dengan membawa mayat bayinya yang masih bertali pusat itu dibalut dengan surat khabar dan diletakkan dalam beg plastik berwarna biru.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, pelajar terbabit mendakwa dia menemui mayat bayi lelaki yang baru dilahirkan itu di dalam longkang dan membawa mayat bayi itu ke pondok polis atas nasihat orang ramai.
“Bagaimanapun selepas diasak dengan beberapa soalan beberapa kali, wanita berkenaan akhirnya mengaku bahawa bayi itu adalah miliknya dan dilahirkan beberapa jam sebelum itu di rumah teman lelakinya di sebuah kuarters kerajaan berhampiran kawasan itu,” katanya.
Ekoran pengakuan pelajar terbabit, polis telah menyerbu kediaman lelaki berusia 27 tahun itu yang merupakan kakitangan sebuah jabatan kerajaan negeri dan ditahan untuk membantu siasatan.
Siasatan awal polis mendapati, bayi lelaki itu meninggal dunia akibat kelahiran pramatang.
Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua mereka boleh dikenakan hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
No comments:
Post a Comment