KUALA LUMPUR: Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa mengakui, isterinya, Datuk Siti Nurhaliza semakin manja dan sukar berenggang sepanjang empat bulan pertama hamil, namun perubahan itu tidak pernah menjadi beban kepadanya.
Ditemui pada majlis doa selamat dan kesyukuran di kediamannya, malam tadi, Khalid berkata, Siti juga tidak betah jika dia berada di luar terlalu lama atas urusan kerja kerana memerlukan teman untuk sentiasa di sisinya.
"Siti memang manja, malah itu sifat semula jadinya. Cuma, sejak hamil, saya perlu memberikannya lebih perhatian kerana Siti sukar berenggang dan tidak mahu kami berjauhan terlalu lama.
"Jika keluar bekerja, pada jam 4 petang, Siti pasti akan menghantar pesanan bertanya saya di mana. Bagi saya, itu perkara biasa terutama bagi seseorang yang sedang melalui fasa baharu dalam diri.
"Ketika saya ke London, baru-baru ini untuk menguruskan kemasukan anak bongsu di universiti, Siti agak gelisah.
"Begitu juga apabila saya terpaksa meninggalkannya untuk menunaikan haji. Sejak awal lagi, Siti sudah berpesan jangan pergi terlalu lama kerana dia perlukan teman. Biarpun sedikit manja, Siti tidak banyak kerenah," katanya.
Khalid berkata, Siti juga cepat lapar dan jika teringin menikmati sesuatu hidangan, isterinya itu pasti beriya-iya mahu menjamahnya.
"Tetapi apabila hidangan sudah di depan mata, dia hanya menjamah sedikit. Ada ketika, dia langsung tidak menyentuh hidangan sedangkan sebelum itu, dia beriya-iya mahu menikmatinya. Sesekali, dia akan meminta ibu saya menyediakan sajian yang diinginkan.
"Pantang jika ada yang menyebut sesuatu hidangan di hadapannya, dia mesti meminta dicarikan. Mungkin dia mengidam dan sebagai suami, saya cuba penuhi permintaannya. Sebelum hamil, Siti gemar makan pedas tetapi sekarang tidak pula," katanya.
Diijabkabulkan pada 21 Ogos 2006, Khalid berkata, mereka sudah melakukan pelbagai usaha untuk mendapatkan zuriat sejak tahun kedua perkahwinan, namun rezeki hanya menyebelahi mereka selepas 11 tahun mendirikan rumah tangga.
"Ada yang bercakap kami banyak duit, kenapa tidak berusaha? Pelbagai usaha kami lakukan selepas perkahwinan memasuki tahun kedua, cuma tidak diberitahu kepada umum.
"Selepas dikurniakan empat anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu, saya berharap sangat kami dikurniakan cahaya mata perempuan. Saya hanya mampu berdoa dan berharap impian ini akan menjadi kenyataan," katanya.
Sumber: bhonline
No comments:
Post a Comment