JAKARTA UTARA, INDONESIA - Tidak tahan mendengar tangisan bayinya berusia 3 bulan yang membantutkan hasratnya untuk tidur petang, seorang bapa tergamak memukul sebelum menekup muka mangsa sehingga mati, lapor Tribun News.
Dalam kejadian jam 2 petang, Khamis, di kediamannya Tower Dahlia 19, Apartment Gading Nias, Kecamatan Kelapa Gading, bayi perempuan berusia 3 bulan itu dipukul dengan botol bedak bayi sebelum ditekup dengan bantal, menyebabkan mangsa lemas.
Sebelum kejadian, Faisal Amir, 27, baru saja mahu melelapkan matanya. Namun anak perempuannya itu menangis menyebabkan dia berang lalu memukul kaki mangsa menggunakan botol bedak bayi. Malangnya, tindakan Faisal itu membuatkan mangsa semakin kuat menangis kerana kesakitan.
Berang dengan tangisan mangsa, Faisal kemudian mengambil bantal lalu ditekup pada muka mangsa sebelum kembali meneruskan hasratnya untuk tidur petang.
"Ketika itu saya mahu tidur petang. Tetapi anak menangis tak henti-henti. Saya geram, lalu saya pukul kakinya menggunakan botol bedak bayi dan dia masih menangis lagi.
"Pada masa itu saya nampak ada bantal di bawah kepala saya, lalu saya tarik dan tekup wajahnya dengan bantal. Masa itu saya dah geram sangat," katanya.
Selepas tiga jam kemudian, Faisal terbangun dari tidur dan tidak menyedari bayinya itu sudah tidak bernyawa. Faisal kemudian membuat susu untuk anaknya dan ketika mahu memberikan susu itu kepada mangsa, barulah dia tersedar mangsa sudah tidak lagi bernyawa.
"Saya cuba memberi bantuan pernafasan, tetapi anak tidak memberikan sebarang respon. Tiada tanda yang dia akan bernafas semula," katanya yang menyesal dengan tindakannya sebelum itu yang telah membunuh anaknya sendiri.
"Jujur saya menyesal melakukan perbuatan itu. Saya bunuh anak saya sendiri hanya kerana tidak tahan mendengar tangisannya," katanya.
Ketua Polis Jakarta Utara, Kombes Pol Dwiyonon berkata, suspek dalam keterangannya juga telah mengaku membunuh anaknya sendiri kerana tidak tahan mendengar tangisannya. Juga difahamkan suspek mengalami tekanan hidup kerana sudah lama menganggur.
"Suspek juga mengalami tekanan kerana sudah lama menganggur. Dia juga kesal dengan anaknya yang sering menangis menyebabkan dia memukul mangsa dengan botol bedak bayi sebanyak tiga kali sebelum menekup wajahnya dengan bantal sehingga lemas.
"Ketika kejadian berlaku, hanya suspek dan mangsa sahaja berada di rumah. Manakala isterinya tiada di tempat kejadian kerana bekerja sebagai pegawai akauntan di Tanjung Priok dan hanya pulang ke rumah seminggu sekali.
"Jadi mungkin suspek juga tertekan kerana isterinya yang jarang pulang dan hanya dia seorang saja yang menguruskan bayi perempuan mereka sendiri," jelasnya.
Mangsa disahkan meninggal dunia kerana lemas selepas wajahnya ditekap dengan bantal.
Siasatan polis mendapati, Faisal menyedari anaknya sudah tidak bernyawa dalam keadaan muntah dan membuang air besar. Melihat keadaan itu, Faisal segera membersihkan kotoran itu sebelum menghubungi saudaranya, Lily, 50, yang melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.
Sementara itu, keluarga Faisal, Fira, menegaskan bahawa mereka percaya suspek tidak sengaja membunuh bayinya. Malah keluarganya juga menyangkal dakwaan media kononnya Faisal telah membunuh bayinya sendiri.
"Setahu kami, abang Faisal tidak bunuh anaknya sendiri. Dari apa yang dia ceritakan kepada ibu saya, kejadian itu tidak disengajakan," katanya.
Faisal kini ditahan mengikut Akta 340 kerana membunuh anaknya sendiri yang memperuntukkan hukuman penjara selama 20 tahun.
No comments:
Post a Comment